Kehadiran TPM Lonjak Momentum Kempen BN Di Sekong – Zharif

BATU SAPI, 24 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsudin, menerima suntikan semangat baharu apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turun padang ke Kampung Gas petang semalam untuk merasmikan Tabika KEMAS Kampung berkenaan.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu turut dilihat memberi nilai tambah terhadap usaha dan gerak kerja kempen Mohd Zharif di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Sabah sabtu depan.

Mengulas kehadiran tersebut, Mohd Zharif berkata, kunjungan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bukanlah sesuatu yang baharu kerana beliau sering menunjukkan keprihatinan terhadap warga Sekong.

“Walaupun jadual beliau sangat padat, Timbalan Perdana Menteri tetap meluangkan masa untuk turun ke Sekong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaharif melihat kempen fasa kedua PRN Sabah di DUN berkenaan memperlihatkan momentum yang cukup baik serta memberansangkan dan seluruh jentera parti akan melipatgandakan lagi usaha untuk merayu dan meraih sokongan daripada pengundi setempat.

“Alhamdulillah…sambutan sangat positif dan saya amat bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh warga Sekong,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai tumpuan utama jika diberikan mandat oleh rakyat, Mohd Zharif memberi jaminan bahawa penyelesaian kemudahan asas dan infrastruktur akan menjadi fokus utama.

Antaranya ialah menyegerakan penyiapan 100 unit rumah yang telah tertangguh hampir tujuh tahun.

“Kita tahu keluarga-keluarga ini pernah tinggal di kontena untuk tempoh yang lama. Mereka menunggu bilakah boleh masuk ke rumah baharu. InsyaAllah, jika diberi kepercayaan, itu perkara pertama yang akan saya selesaikan,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO