Penyokong Warisan Keluar Parti, Sertai UMNO … Sokongan Kepada BN Membakut Terus Meningkat
KIMANIS, 23 Nov – Gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di DUN N.31 Membakut semakin ketara menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila seramai 50 orang penyokong Warisan dari Kampung Lampijas
mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan penuh kepada calon BN, Rusman Dulamit.
Dalam majlis sama, melalui Program Badudun, seramai 72 individu daripada parti lain turut mengisytiharkan penyertaan mereka ke dalam UMNO menerusi cawangan KPDM Kg Brunai, Membakut yang sekali gus mengukuhkan lagi jentera BN di peringkat akar umbi.
Calon BN N.31 Membakut, Rusman Dulamit, menzahirkan penghargaan atas sokongan yang semakin meningkat daripada masyarakat setempat.

Beliau berkata, langkah ini disifatkan sebagai petanda keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta perancangan BN untuk membawa pembangunan lebih tersusun ke kawasan berkenaan.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan kepada BN, termasuk rakan-rakan yang baru menyertai perjuangan ini. Sokongan ini membakar semangat kami dan menguatkan keyakinan bahawa BN mampu meraih kemenangan di Membakut,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk membawa perubahan dan pembangunan menyeluruh ke kawasan Membakut sekiranya diberi mandat.
“Insya-Allah, kita akan memastikan pembangunan yang lebih teratur, peluang ekonomi yang lebih baik serta kemudahan yang lebih lengkap untuk semua penduduk Membakut,” ujarnya.
Sokongan baharu yang diterima ini dilihat sebagai momentum penting buat BN dalam usaha mengukuhkan pengaruh dan keyakinan pengundi di DUN Membakut menjelang hari pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
