Manifesto BN Sabah Menyeluruh, Bersepadu, Realistik Dan Boleh Dicapai
TUARAN, 24 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata Manifesto BN Sabah – Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) sangat baik untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah.
Kata Timbalan Menteri Kerja Raya dan juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, manifesto tersebut bersifat menyeluruh, bersepadu, realistik dan boleh dicapai.

“Manifesto ini sangat baik atas beberapa sebab. Pertama, ia menyeluruh untuk penjawat awam, orang kampung, wanita, belia, orang muda dan untuk keseluruhan negeri Sabah.
“Kedua, bersepadu atas tema ekonomi, pendidikan, prasarana rakyat, membantu meringankan beban hidup rakyat, kelestarian ekonomi, pembangunan hijau menjadikan Sabah negeri terkemuka antara negeri dalam Malaysia.
“Ketiga, satu-satunya manifesto itu boleh dipercayai atau tidak. Sama ada realistik atau tidak, sama ada ia menjanjikan bulan bintang atau tidak. Maknanya manifesto BN ia adalah realistik dan boleh dicapai. Ketiga-tiganya memenuhi satu kriteria manifesto yang baik,” katanya kepada UMNO Online.

Dr Ahmad berkata demikian sebaik selesai menyantuni jentera dan pengundi BN di Pusat Daerah Mengundi Mengkabong, di sini, Sabtu petang.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Datuk Lassim Borhan, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Israk Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Datuk Mohamad Najib Samuri.
Selanjutnya, Dr Ahmad turut menyokong penuh supaya segala perancangan yang terkandung dalam dokumen tersebut boleh dilaksanakan.
Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, ketika membentangkan manifesto itu pagi Sabtu, berkata RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.
RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan, serta Kelestarian Sumber Alam.
Turut hadir pada pelancaran yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – UMNO ONLINE
