“Insya-Allah Saya Positif… Akan Ada Kejutan Di DUN Sulaman 29 November Ini”
TUARAN, 23 Nov – “Insya-Allah, saya positif di DUN Sulaman ini akan ada sesuatu kejutan yang akan berlaku pada 29 haribulan ini.”
Demikian keyakinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh apabila melihat sokongan anak muda yang sangat luar biasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman terhadap calon Barisan Nasional (BN) Dr Shahnon Rizal Thaijudin.
Katanya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini, golongan muda mahukan perubahan dan harapan baharu di samping kredibiliti serta kebolehan Dr Shahnon yang mempunyai idea yang segar dan sering memberi khidmat di kawasan itu.

“Alhamdulillah nampak sokongan terutama sokongan anak-anak muda dalam DUN Sulaman ini sangat-sangat luar biasa. Saya difahamkan bahawa mereka ini memang nakkan nafas yang baru dan harapan yang baru.
“Dan mereka rasakan bahawa harapan dan nafas baru itu berada pada Dr. Shahnon ini,” katanya kepada media selepas program Himpunan Anak Muda – Bikin Balik Sabah di DUN Sulaman, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tembalang, di sini malam tadi.
Ulasnya lagi, beliau turut mendengar luahan masyarakat di kawasan itu yang memerlukan seorang pemimpin yang datang bertemu bukannya menghantar wakil bagi mendengar segala permasalahan.
“Bila kita tanya orang Sulaman, mereka memerlukan pemimpin yang datang sendiri mendengar, bukan pemimpin yang hanya hantar pegawai dan dengar laporan daripada pegawai.

“Jadi, insya-Allah saya hormat Datuk Seri Hajiji (Hajiji Noor). Saya rasakan kali ini orang Sulaman memerlukan orang yang baru, yang lebih segar, yang lebih bertenaga, yang boleh turun sendiri mendengar suara dan rintihan rakyat di bawah ini.
“Dan saya percaya insya-Allah Dr. Shahnon adalah calon yang terbaik,” katanya.
Berkenaan dengan tempo kempen BN, Dr Akmal berkata selepas seminggu berkempen, jentera semakin agresif bergerak mendapatkan sokongan pengundi.
“Penerimaan rakyat pun semakin baik, memang kita rasakan bahawa insya-Allah kita sangat-sangat positif kali ini boleh menang di kebanyakan kawasan yang kita bertanding, insya-Allah,” katanya.
Seterusnya, Dr Akmal juga menekankan bahawa setiap wakil Pemuda yang menjadi wakil rakyat di sesebuah kawasan perlulah menjadi ‘yang berkhidmat’, bukan ‘yang berhormat’ serta mesti menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.
‘Semua calon dan semua wakil rakyat Pemuda kita dah ada KPI dan mesti jadi ‘yang berkhidmat’. Kita akan aplikasikan sama untuk calon-calon di sini kalau menang tidak boleh berbangga diri menjadi ‘yang berhormat’ tetapi mesti menjadi ‘yang berkhidmat’ untuk rakyat.
“Kalau tidak, saya dah beritahu takkan lagi dicalonkan nama mereka ini pada penggal yang akan datang,” tegasnya.
Manakala dalam perkembangan yang berkaitan, Dr Akmal bersyukur manifesto BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang dilancarkan pagi Sabtu turut mengambil berat isu yang melingkari golongan muda.
“Alhamdulillah manifesto BN itu kalau kita lihat banyak menyentuh keperluan-keperluan orang muda. Antaranya adalah keperluan perumahan yang kita janjikan adalah seribu rumah ‘rent to own’.
“Kita tahu orang muda sekarang ini ada tiada tanah, gaji kecil tidak boleh buat pinjaman (perumahan). Kita cadangkan rumah ‘rent to own’, mampu bayar sewa rumah kepada kerajaan negeri mungkin RM200 ke RM300 sebulan. Mungkin dalam tempoh 15 tahun rumah yang dibayar sewa itu boleh menjadi milik mereka,” katanya lagi.
Apa yang menarik juga katanya adalah mengenai jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.
“Ini saya rasa satu iltizam yang sangat berani yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan insya-Allah kita yakin dan kita rasakan bahawa manifesto itu keutamaan memang semua menyentuh hasrat-hasrat dan juga inspirasi orang muda dalam negeri Sabah ini, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE
