Pendidikan, Peluang Pekerjaan Tekad Anil Sandhu Jana Ekonomi Kunak

KUNAK, 24 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu bertekad memperjuangkan kepentingan rakyat Kunak dengan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, dan pemulihan aset strategik kawasan itu.

Menurutnya, pembangunan pendidikan dan pelabuhan moden menjadi keutamaan dalam rancangan jangka panjangnya.

“Saya mahu membina Kolej Komuniti MARA di Kunak ini. Dalam jangka yang panjang mahu membina satu pelabuhan yang boleh membawa kontena dan mineral dari Sabah. Kunak mempunyai lautan yang terdalam daripada empat daerah yang terdekat.

“Apabila membina pelabuhan ia dapat mensasarkan 800 pekerjaan kepada anak-anak muda dan masyarakat di sini. Tidak payah anak-anak muda mencari pekerjaan di luar Kunak. Hanya Kunak yang mampu beri pekerjaan kepada mereka.

“Kunak ini banyak sumber-sumber yang bermanfaat dan akan meminta kembali tanah-tanah Guthrie dan IOI yang sudah ‘expire’ dan akan bawa pembangunan yang baharu  kepada rakyat Kunak. Saya akan cuba dan usahakan perkara tersebut agar ‘dapur penduduk tidak akan berhenti berasap’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah pilihan raya di kampung Kunak tiga, semalam.

Anil Sandhu yang juga Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah menasihati kepada seluruh pengundi agar jangan memburuk-buruk serta mencaci orang, dan kekalkan perpaduan semasa insan.

“Kita ini satu keluarga jangan memburuk-buruk dan mencaci orang tetapi kita ada fikiran,mata, telinga, ada hati bukannya perasaan.Kita nampak, nilai yang bagus-bagus… mudah-mudahan Allah SWT beri hidayah dan hikmat pada semua agar perjuangan ikhlas ini semoga semua peti undi di Kunak ini BN memenanginya.

“Kalau kamu angkat pemimpin yang benar-benar membela masyarakat, yang boleh menyelesaikan permasalahan. Insya Allah… tidak sampai setahun permasalahan rumah untuk membaik pulih boleh dilakukan sebanyak 140 buah. Semua perkara tersebut adalah nyata dan bukannya tipu, kerana ada hubungan pusat dan kerajaan negeri.

“Sekiranya diberi mandat, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan pengundi atau melompat ke parti lain. Integriti saya bukan murah untuk dijual beli; ia prinsip yang saya pegang teguh demi menjaga maruah dan amanah rakyat,” tegasnya.

Pada masa sama Anil turut menyeru kepada semua pengundi di DUN Kunak agar menunaikan tanggungjawab pada 29 November nanti.

“Saya merayu pada semua pengundi pada 29 November nanti, jangan lupa bawa kad pengenalan, pergi mengundi dan mohon undi ‘timbangan’ (BN). Jangan terikut-ikut orang lain.

“Kita akan buktikan dan berkhidmat serta jiwa raga diserahkan kepada rakyat Kunak untuk pembangunan masa depan kawasan ini. Mudah-mudahan BN menang dengan majoriti yang besar pada PRN Sabah,” ujarnya.

DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 ini adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Lahad Datu selain Tungku, Segama dan Silam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan 25 November bagi pengundian awal. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO