Manifesto BN Sabah Tawaran Keemasan Buat Rakyat, Bukan Retorik Politik – Jalaluddin
PUTATAN, 23 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyifatkan Manifesto Rancangan Pembangunan Sabah 1 yang dibentangkan Barisan Nasional (BN) Sabah sebagai satu dokumen paling komprehensif dan realistik yang pernah ditawarkan kepada rakyat bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau, setiap perkara yang digariskan telah diteliti satu persatu, merangkumi ayat, susunan serta fokus utama yang ditekankan dalam usaha mengangkat semula pembangunan negeri.

“Saya lihat apa yang ditawarkan oleh BN Sabah bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Ia bukan janji kosong atau janji yang ‘tidak tercapai oleh tangan’. Semua perkara itu boleh direalisasikan apabila BN kembali menjadi kuasa pentadbir di Sabah,” katanya kepada UMNO Online selepas bersama dalam Program Ramah Mesra di PDM Muhibah, malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa manifesto tersebut inklusif dan merangkumi kepentingan pelbagai kaum, agama dan budaya, termasuk kelompok warga emas, wanita, golongan muda serta aspek pendidikan.
“Yang penting, golongan wanita turut diberikan ruang pembelaan khusus. Ini menunjukkan BN benar-benar memahami keperluan rakyat Sabah secara keseluruhan,” ujarnya.
Semalam, BN Sabah menawarkan enam tonggak pembangunan di negeri itu, termasuk komitmen menyelesaikan isu asas yang membelenggu Sabah selama ini dalam tempoh satu penggal menerusi manifesto yang dibentangkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubunagn itu, Jalaluddin menyeru rakyat Sabah agar memanfaatkan peluang pada 29 November ini bagi memberikan mandat baharu kepada BN.
“Ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Hanya kerajaan yang stabil dan dominan seperti BN mampu menguruskan rakyat dan membawa kesejahteraan sebenar kepada negeri Sabah,” katanya.
Beliau menekankan bahawa masa depan pembangunan asas Sabah termasuk infrastruktur, kemudahan awam dan perkhidmatan rakyat bergantung kepada mandat rakyat dalam PRN kali ini.

Mengulas tiga fokus utama UMNO Sabah iaitu jalan raya, isu air, dan fasiliti asas, Jalaluddin berkata masalah tersebut tidak mungkin diselesaikan sekelip mata oleh mana-mana kerajaan.
“Tidak ada mana-mana kerajaan yang boleh selesai masalah air atau elektrik dalam masa sebulan. Ini memerlukan perancangan rapi, tempoh masa tertentu serta komitmen yang konsisten,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam tempoh sepenggal pentadbiran, BN berjanji menyelesaikan masalah tersebut secara fasa demi fasa, dan memastikan ia dapat dituntaskan sepenuhnya menjelang tahun kelima.
Menurut Jalaluddin, rakyat Sabah harus melihat manifesto UMNO Sabah sebagai komitmen nyata, bukan sekadar retorik politik.
“Jika peluang ini dilepaskan, rakyat Sabah akan terus ketinggalan daripada mendapatkan hak mereka terhadap kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan pelbagai pembangunan lain yang telah dicetuskan oleh BN,” katanya.
Beliau yakin dengan pengalaman, rekod pencapaian serta kemampuan BN, segala projek pembangunan dan agenda kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Insya-Allah, dengan mandat rakyat, BN akan melengkapkan sepenuhnya semua inisiatif yang telah digariskan dalam manifesto demi masa depan Sabah yang lebih makmur dan stabil,” tambahnya lagi. – UMNO Online
