Calon BN Mudah Didekati, Pembangunan, Jalan Raya Dan Bekalan Air Fokus Utama

SEMPORNA, 23 Nov – Bekalan air, elektrik serta infrastruktur asas terus menjadi harapan utama penduduk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Tinjauan UMNO Online mendapati penduduk sering berdepan catuan air dan gangguan bekalan elektrik, sekali gus menyukarkan urusan harian mereka.

Bagi Abdul Said Marjuarin, 33, dari Kampung Lihak-Lihak menyeru pengundi, khususnya anak muda, agar terus memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Abdul Manan Indanan.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi khususnya anak-anak muda yang berada di seluruh kampung Lihak-Lihak ini agar terus menyokong dan mengundi BN bagi DUN Bugaya, Abdul Manan Indanan. Kita kena menangkan calon BN, hanya parti ini yang membuat perubahan seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih.

“Saya percaya bahawa BN dapat merampas kembali DUN ini. Calon ini selalu bantu rakyat dan berkerja untuk rakyat. Kita tidak pernah mendengar bahawa calon selama ini tidak membantu rakyat. Sekiranya beliau menang pada pilihan raya dan mewakili DUN Bugaya, suara-suara orang kampung Lihak-Lihak ini akan terus dibawa ke kerajaan Pusat,” katanya.

Bagi Mohd Ariffin Abdul Shukur, 35, menyuarakan sokongan beliau terhadap calon BN untuk DUN Bugaya, dengan harapan pembangunan dan peluang pekerjaan dapat diperluaskan di kawasan mereka.

“Calon BN mudah didekati dan pengundi di kampung Lihak-Lihak menunjukkan sokongan yang kukuh kepada parti itu. Beliau menekankan bahawa anak-anak muda kampung kini sangat memerlukan pembangunan dan perubahan, termasuk pembaikan jalan raya.

“Sekiranya calon BN di Bugaya ini menang dalam PRN, ia dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di sini. Jalan raya di kawasan kampung juga akan dapat diperbaiki. Anak-anak muda kampung ini sememangnya kehausan pembangunan dan perubahan. Insya Allah, sekiranya beliau diberi mandat, jalan raya di kawasan kampung dapat diperbaiki,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Yusrizal Jaafar, 47, menyatakan keyakinan bahawa pentadbiran BN sebelum ini telah membawa banyak pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Selama BN memerintah Sabah, banyak pembangunan dilakukan dan harap calon BN dapat meneruskan legasi kepimpinan. Kami mahu suara rakyat terus dibela, terutama berkaitan isu infrastruktur asas seperti jalan raya, air bersih dan bekalan elektrik yang menjadi keperluan utama penduduk di kawasan ini.

“Ramai masyarakat di kampung ini sering mengadu tentang bantuan-bantuan kerajaan yang dimanipulasi dengan birokrasi. Sebagai contoh, sekiranya meminta bantuan harus merujuk terus kepada ketua cawangan GRS, sedangkan itu adalah kemudahan dari kerajaan.

“Selama BN memerintah tidak pernah menggunakan birokrasi sedemikan rupa dan harap calon BN pada PRN ini dapat meneruskan legasi dan budaya yang sentiasa membantu masyarakat terutama di kawasan kampung-kampung,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO