Kerjasama Erat Kerajaan-NGO, Kunci Kejayaan Tongkah Arus Perubahan Sosial
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah kunci kejayaan dalam menongkah arus perubahan sosial dan cabaran demografi yang semakin kompleks.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan beliau telah hadir untuk menyempurnakan Majlis Program Pengiktirafan NGO Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Berprestasi Cemerlang.

“Malam ini saya berada di Hotel Dorsett Putrajaya bagi menyempurnakan Majlis Program Pengiktirafan NGO Rakan Strategik KPWKM Berprestasi Cemerlang.
“Dalam ucapan perasmian, saya menegaskan bahawa pengiktirafan ini bukan hanya berdasarkan pencapaian program, tetapi juga kepada nilai integriti, profesionalisme dan keberkesanan pengurusan.
“Ini penting kerana NGO hari ini bukan sahaja berfungsi sebagai pelaksana, tetapi juga sebagai rakan pemikir, rakan advokasi dan rakan penghubung antara komuniti serta kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, rangkaian kerjasama perlu diperluas di samping meningkatkan penggunaan data agar intervensi dilaksanakan lebih tepat pada sasarannya.

“Saya turut menyentuh keperluan untuk memperkukuh tadbir urus, memperluas rangkaian kerjasama dan meningkatkan penggunaan data bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan lebih tepat sasaran.
“Keupayaan NGO untuk membaca keperluan komuniti secara dekat merupakan aset besar dan ia perlu dipadankan dengan sokongan strategik kerajaan untuk memberikan impak maksimum,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengiktirafan tersebut merupakan permulaan kepada fasa baharu kolaborasi yang lebih strategik, tersusun dan berimpak.
“Ketika menyampaikan sijil dan anugerah, saya sempat berbual dengan beberapa wakil NGO. Ada yang berkongsi cabaran di lapangan, ada yang menyampaikan harapan baharu, dan ada yang meluahkan rasa terharu kerana usaha mereka akhirnya dihargai di peringkat nasional.
“Momen-momen kecil ini mengingatkan saya tentang pentingnya kita meraikan mereka bukan hanya melalui data… tetapi melalui pengiktirafan yang datang dari hati. Program hari ini mengukuhkan keyakinan saya bahawa dalam arus perubahan sosial dan cabaran demografi yang semakin kompleks, kerjasama erat antara kerajaan dan NGO adalah kunci kejayaan.
“Pengiktirafan ini bukan penutup, tetapi permulaan kepada fasa baharu kolaborasi yang lebih strategik, lebih tersusun dan lebih berimpak. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
