Naik Taraf Bekalan Air Maran Hampir Selesai, Projek Siap Awal Dari Jadual – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbesar hati mengadakan satu lawatan Tapak Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air Daerah Maran di Kampung Luit, Maran pada semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Naib Presiden UMNO itu memaklumkan sehingga hari ini, kerja-kerja pemasangan di sekitar Kampung Luit yang melibatkan seramai 32,000 pemegang akaun dijangka akan disiapkan menjelang bulan April tahun hadapan.
“Kemajuan projek ini berada 40 peratus lebih terkehadapan daripada jadual asal. Insya-Allah, masalah bekalan air di daerah Maran dapat diselesaikan melebihi 90 peratus dalam masa terdekat.
“Usaha ini adalah selari dengan janji kerajaan negeri untuk menyelesaikan 90 peratus masalah air di seluruh Negeri Pahang menjelang akhir tahun 2025,” katanya.
Beliau seterusnya, menghadiri Siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Laman Qalbu, Maran bagi menyantuni penduduk sekitar.
Pada kesempatan tersebut Wan Rosdy turut mengambil peluang beramah mesra dan bermain permainan korum bersama penduduk setempat.
“Seronok dapat duduk bersama orang kampung, berborak sambil menikmati hidangan petang dan mendengar sendiri harapan serta pandangan mereka. Sempat juga tunjuk kemahiran main karom.
“Terima kasih buat semua yang sudi meluang masa hari ini. Insya-Allah. Kita jumpa lagi dalam Siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang lain pula,” ujar beliau.
Wan Rosdy kemudiannya ke Mentakab bagi menziarahi keluarga Allahyarhamah Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim, yang meninggal dunia pada 15 November 2025 akibat kemalangan jalan raya.
Beliau meluahkan kedukaan, di samping mengharapkan keluarga bertabah dengan ujian melanda dan mendoakan Allahyarhamah ditempatkan bersama golongan yang beriman.
“Pada 24 November ini, Allahyarhamah sepatutnya menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati Allahyarhamah, serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Semoga seluruh ahli keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan dan ketenangan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya. – UMNO Online
