ASEAN-China Kini Koridor Ekonomi Paling Pesat Berkembang Di Dunia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bahawa dalam dunia yang sedang berubah dengan begitu pantas, Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan lebih berani dan strategik.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia termasuk melalui kemajuan kecerdasan buatan, teknologi hijau dan perubahan besar dalam rantaian bekalan global.

Katanya sebagai Pengerusi ASEAN 2025, peluang besar menanti Malaysia sekiranya memanfaatkan kedudukan strategik ini.

“ASEAN-China kini muncul sebagai salah satu koridor ekonomi paling pesat berkembang di dunia, manakala hubungan perdagangan Malaysia-China terus menunjukkan peningkatan kukuh dan telah melebihi RM200 bilion setakat tahun ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi perasmian The Global Chinese Economic and Technology Summit (GCET 2025) di Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya lagi, pertumbuhan tersebut terhasil daripada komitmen bersama untuk memperdalam kerjasama dalam bidang teknologi, pelaburan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), halal, inovasi digital dan ekonomi hijau.

“Saya sendiri telah terlibat secara langsung melalui tiga lawatan kerja rasmi ke China bagi membuka laluan baharu kerjasama yang kini mula membuahkan hasil nyata untuk negara.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh kedudukan sebagai rakan ekonomi yang lebih kompetitif, lebih inovatif dan lebih bersedia menghadapi masa depan, sambil membuka peluang baharu untuk warga Malaysia khususnya anak muda yang bakal memimpin ekonomi generasi seterusnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO