Kerajaan Komited Tingkatkan Tatakelola, Perangi Rasuah Secara Tegas Dan Adil – Azalina
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan MADANI terus komited meningkatkan tatakelola dan memerangi rasuah secara tegas serta adil menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada semalam.
“Perdana Menteri dengan jelas mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan tatakelola dan memerangi rasuah secara tegas dan adil melalui pemantauan berkala pelaksanaan NACS 2024-2028 oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
“Antara kejayaan usaha ini termasuklah pencapaian badan-badan penguatkuasaan mengumpul RM15.5 bilion melalui tindakan penguatkuasaan tegas.
“Lebih penting, Perdana Menteri turut memaklumkan beberapa perkembangan reformasi undang-undang yang sedang dimuktamadkan bagi melengkapi inisiatif ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Azalina, ini termasuk rang undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan iaitu RUU Ombudsman, RUU Kebebasan Maklumat (FOI), RUU Pendanaan Politik serta inisiatif pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya. – UMNO Online
