Johor Catat Pelaburan Tertinggi, Cermin Keyakinan Para Pelabur – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Kejayaan Negeri Johor mencatatkan pelaburan tertinggi di Malaysia mencerminkan keyakinan para pelabur terhadap negeri tersebut, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Negeri Johor berjaya mencapai nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025.

“Johor sekali lagi mencatat kejayaan apabila muncul sebagai negeri tertinggi pelaburannya di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025, dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas bimbingan dan kepimpinan yang sentiasa menekankan bahawa kemajuan ekonomi perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor, hasil usaha bersama dalam mewujudkan tadbir urus cekap, perkhidmatan lebih responsif, dan budaya kerja yang semakin profesional,” katanya.

Ujarnya, Negeri Johor menjadi pilihan para pelabur kerana komited memperbaiki sistem di samping meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Johor menjadi pilihan bukan hanya kerana saiz ekonominya, tetapi kerana komitmen negeri untuk memperbaiki sistem, memperkemas proses dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta pelabur.

“Kerajaan Negeri sedar dan insaf bahawa kemajuan Johor tidak boleh hanya dilihat pada angka pelaburan. Pembangunan mesti bergerak seiring dengan infrastruktur, peningkatan integriti, disiplin, mentaliti dan sikap bertanggungjawab di setiap peringkat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau optimis bahawa limpahan manfaat pelaburan akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor.

“Dengan keyakinan ini, Johor optimis bahawa limpahan manfaat pelaburan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi, teknologi baharu dan peluang ekonomi akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor secara menyeluruh.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta semua rakan pelaksana.

“Semoga kejayaan ini menjadi penyuntik semangat untuk kita bekerja lebih kuat demi kesejahteraan dan kemajuan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO