Bung Moktar, Jafry Sah Berentap Di Lamag Dan Sukau Pada PRN Sabah Ke-17
KINABATANGAN, 15 Nov – Hampir 1,000 penyokong dan pendukung Barisan Nasional (BN) mengiringi Ketua UMNO Sabah yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta calon BN DUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, pada proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 hari ini.
Perarakan bermula di perkarangan Hospital Kinabatangan sebelum menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Lamag, dimulakan dengan bacaan doa dan kata-kata semangat, disusuli laungan “Radu Tatap Radu, Radu Sampai Menang” oleh para penyokong.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir bersama kepimpinan UMNO lain untuk mengiringi kedua-dua calon berkenaan, sekali gus memeriahkan suasana perarakan ke pusat penamaan calon yang turut melibatkan DUN Kuamut, Lamag dan Sukau.
Kehadiran penyokong parti-parti lain yang bertanding pada PRN Sabah kali ini turut menghangatkan suasana sekitar pusat penamaan calon.
Penyokong parti yang bertanding ditempatkan di kawasan khas yang ditetapkan pihak berkuasa, manakala proses penamaan calon berjalan lancar dengan kawalan pihak keselamatan serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bung Moktar bakal berdepan saingan enam penjuru di DUN Lamag, manakala Jafry Ariffin berdepan pertarungan tujuh penjuru di DUN Sukau.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi tiga DUN berkenaan, Yuesri Ismail Yusof. – UMNO Online
