Belanjawan Johor 2026 Bukti Keteguhan Pentadbiran Negeri – ADUN Parit Yaani
KUALA LUMPUR,14 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menyifatkan pembentangan Belanjawan Johor 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai bukti keteguhan pentadbiran negeri dalam memastikan pembangunan Johor terus berada pada landasan mampan.
Menurut beliau, intipati belanjawan yang dibentangkan semalam memperlihatkan komitmen tinggi barisan EXCO serta penjawat awam dalam menggerakkan pentadbiran negeri sehingga mampu merekodkan pelaburan terkumpul RM218 bilionsetakat ini, selain mewujudkan 64,000 peluang pekerjaan baharu dan mengekalkan kadar pengangguran rendah pada 2.3 peratus.
“Pencapaian ini cukup membanggakan bagi tempoh tiga tahun enam bulan pentadbiran sedia ada. Ia membuktikan keyakinan pelabur dan kesungguhan kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Najib berkata Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ turut menekankan agenda pembangunan inklusif, khususnya melalui pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, B40, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta penggerak masyarakat.
Antara inisiatif utama ialah
• RM24.6 juta bagi BKJ Anak Yatim Johor yang memberi manfaat kepada 12,307 anak yatim,
• BKJ miskin tegar dan miskin yang memanfaatkan 9,714 ketua isi rumah,
• RM17 juta untuk pemandu teksi dan P-Hailing membabitkan 42,524 penerima,
• RM11.47 juta bantuan bulanan OKU merangkumi 28,686 penerima,
• RM8.8 juta untuk pegawai masjid, surau, guru Al-Quran, guru takmir dan penyelia Al-Quran.
Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM22.6 juta bagi menaik taraf sistem perparitan, longkang serta kolam tadahan di kawasan hotspot banjir, selain RM9.6 juta untuk projek tebatan banjir merangkumi kajian dan usaha pengurangan risiko.
“Peruntukan ini sangat signifikan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir termasuk di DUN Parit Yaani yang sering berdepan limpahan air ketika musim tengkujuh. Usaha ini pastinya melegakan rakyat,” katanya.
Najib seterusnya optimis Belanjawan Johor 2026 akan terus mengukuhkan kesejahteraan rakyat dan menjayakan Agenda Maju Johor 2030 menerusi enam teras utama yang digariskan. – UMNO Online
