Atas Kapasiti Apa Dr Sahruddin Menuduh Johor Gagal Membantu Rakyat? – Ahmad Solehin

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani mempersoalkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang mendakwa Kerajaan Negeri Johor gagal membantu rakyat.

Ujarnya, kenyataan tersebut membuktikan bahawa Dr Sahruddin terus kekal ‘buta hati’ terhadap kejayaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada hari ini.

“Kenyataan Datuk Dr Sahruddin Jamal terhadap Belanjawan Johor 2026 jelas membuktikan bahawa beliau terus kekal ‘buta hati’ terhadap kejayaan dan kemajuan Negeri Johor di bawah pentadbiran BN hari ini.

“Ironinya, sewaktu beliau sendiri menjadi Menteri Besar, apakah dasar besar yang beliau tinggalkan? Apa reformasi ekonomi yang dicetuskan? Apa pelan jangka panjang yang dibina untuk rakyat?

“Jawapannya tetap sama, tiada. Pentadbiran beliau hanya dikenang sebagai kerajaan singkat tanpa visi, agenda dan impak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, Belanjawan Johor 2026 adalah amat menyeluruh dan terbesar dalam sejarah dengan pelbagai inisiatif yang mampu meringankan beban rakyat.

“Hari ini, setelah Johor melakar pencapaian demi pencapaian, barulah beliau muncul sebagai ‘penganalisis politik separuh masa’, mengkritik tanpa fakta, menegur tanpa cadangan, dan membangkang tanpa menawarkan apa-apa solusi.

“Hakikatnya, Belanjawan Johor 2026 adalah belanjawan paling menyeluruh dan terbesar dalam sejarah negeri, termasuk Bantuan Kasih Johor untuk ratusan ribu rakyat; 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) siap pada 2026; 64,000 peluang pekerjaan baharu; TVET dan pendidikan diperkasa besar-besaran; pertanian, perikanan dan luar bandar dimajukan serta kesihatan dan kebajikan diperluas secara drastik.

“Ini semua jelas tercatat dalam belanjawan, kecuali kepada mereka yang memilih untuk tidak mahu melihat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO/BN akan terus mempertahankan rekod pencapaian Johor dan menolak politik pesimis.

“Lebih menghairankan, PN Johor berbicara seolah-olah mereka memiliki rekod cemerlang sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran PN sendiri jauh tertinggal dari Johor dalam hampir semua indikator… pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bandar, kesediaan digital, TVET dan kesejahteraan rakyat.

“Maka atas kapasiti apa Dr. Sahruddin menuduh Johor gagal membantu rakyat? Sedangkan Johor hari ini lebih maju daripada mana-mana negeri yang ditadbir PN dan rekod ini bukan retorik, tetapi ia adalah fakta yang terbukti.

“Belanjawan Johor 2026 ialah belanjawan kerja, masa depan dan mengangkat rakyat, bukan belanjawan retorik seperti yang cuba digambarkan oleh PN.

“UMNO/BN akan terus mempertahankan rekod pencapaian Johor dan menolak politik pesimis yang hanya tahu menuding jari tanpa membawa apa-apa penyelesaian,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO