‘Siapa Nama Ketua Wanita UMNO Tersebut?’ – Hisham Suhaily Mohon Penjelasan Sanusi
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman memohon penjelasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa bantuan Tabung Tengku Mahmud telah digunakan untuk membaiki rumah salah seorang Ketua Wanita UMNO Bahagian di Kedah.
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, Hisham Suhaily memaklumkan beliau telah membuat semakan dengan ketua-ketua Wanita UMNO Bahagian dan mengesahkan tiada sesiapa pernah menerima bantuan tersebut.

“Semalam saya ada dengar satu kenyataan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Beliau ada ‘petik’ nama Ketua Wanita UMNO Bahagian. Beliau sebut Ketua Wanita UMNO Bahagian di Kedah dapat peruntukan baiki rumah.
“Jadi, kami pun tertanya-tanya juga siapa Ketua Wanita UMNO Bahagian tersebut. Namun kami ‘check’ dan bertanya kepada Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian termasuk bekas-bekas dan juga anak-anak buah mereka… tiada pula yang terima bantuan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta Sanusi untuk memperbetulkan kenyataan sekiranya dakwaan tersebut adalah tidak benar bagi mengelakkan fitnah.
“Jadi kepada Datuk Seri Sanusi, boleh tak beritahu siapakah namanya Ketua Wanita UMNO Bahagian tersebut yang menerima bantuan daripada Tabung Tengku Mahmud tersebut?
“Kami bukan apa… kami juga mahukan pencerahan. Kami juga tidak mahu difitnah. Kalau betul tidak mengapa. Kalau tidak betul, harap dibetulkanlah ya,” katanya lagi.
Terdahulu, Sanusi mendakwa bahawa peruntukan Tabung Tengku Mahmud telah digunakan untuk memperbaiki rumah salah seorang Ketua Wanita UMNO Bahagian di Kedah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sumbangan Mahasiswa Anak Kedah pada September lalu. – UMNO Online
