Dr Asyraf Kesal Penjamin Terpaksa Tanggung Hutang Peminjam Culas
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa kecewa apabila mendapati masih ada penjamin terpaksa menanggung beban hutang akibat kegagalan peminjam melunaskan pinjaman pelajaran MARA.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata demikian selepas bertemu sendiri dengan seorang pesara kerajaan yang hadir ke kaunter MARA untuk berbincang mengenai pembayaran semula pinjaman yang dijamin olehnya.
“Ketika saya turun meninjau reruai di lobi MARA sempena Program Peace of Mind tengahari tadi, saya terserempak dengan seorang pak cik yang sedang berurusan di kaunter untuk berunding mengenai pembayaran balik hutang pinjaman pelajaran MARA.
“Yang menyebabkan darah saya menyirap, rasa marah bercampur simpati ialah kerana pak cik yang merupakan seorang pesara kerajaan ini hanyalah penjamin dan menjadi mangsa kepada peminjam yang culas tidak mahu bertanggungjawab melangsaikan hutang pinjaman pelajaran luar negara, walaupun kini sewenangnya memperagakan kemewahan dan kesenangan hidupnya di media sosial,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan sikap peminjam culas yang enggan melunaskan hutang pendidikan, sehingga menyebabkan penjamin terpaksa menanggung beban.
Malah beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan mengecewakan, apatah lagi apabila peminjam sanggup memperagakan kehidupan mewah di media sosial, sedangkan hutang masih belum dilunaskan.
Susulan itu, beliau telah mengarahkan pihak MARA untuk menjejaki peminjam terlibat dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Saya pantang dengan peminjam yang culas! Kalau berhutang, tunaikanlah janji. Jangan memangsakan penjamin yang dahulunya kita merayu untuk dibantu.
“Bila sudah berjaya, hutang tidak mahu bayar, malah penjamin dibiarkan menderita akibat kecurangan kita,” ujar beliau.
Susulan itu, beliau telah mengarahkan pihak MARA untuk menjejaki peminjam terlibat dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Dalam kes ini, saya telah mengarahkan supaya MARA ambil tindakan tegas menjejaki dan mengambil tindakan perundangan terhadap peminjam terlebih dahulu. Jangan sampai yang teraniaya dihukum, sedangkan yang bersalah bebas, meneruskan kehidupannya tanpa sedikitpun rasa bersalah,” katanya. – UMNO Online
