Belanjawan Johor 2026 Bukti Kerajaan Negeri Laksana Dasar Secara Realiti, Bukan Retorik
JOHOR BAHRU, 14 Nov — Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Johor bukan sahaja merangka dasar, tetapi benar-benar melaksanakan tindakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, belanjawan kali ini memperlihatkan pendekatan realistik, berani dan berpaksikan rakyat, dengan pelaksanaan menyeluruh merangkumi agenda perumahan, digitalisasi, kebajikan sosial serta pembangunan bandar pintar.
“Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar kertas dasar, tetapi manifestasi kepada tindakan sebenar di lapangan. Ia menunjukkan kerajaan negeri berfungsi sebagai pelaksana yang turun padang, menyentuh kehidupan rakyat dari segi perumahan, kesejahteraan sosial dan kemudahan awam,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, komitmen besar kerajaan negeri dapat dilihat melalui pelaksanaan Program Bangsa Johor Bahagia yang diteruskan dengan peruntukan RM12.9 juta, hasil perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong iaitu inisiatif diraja yang memberi impak langsung kepada komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri.
Selain itu, sebanyak 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan siap menjelang tahun 2026 hasil kerjasama strategik antara PKPJ, Kerajaan Persekutuan dan pemaju swasta. “Ini membuktikan janji kerajaan untuk memastikan rakyat Johor mampu memiliki rumah sendiri bukan sekadar omongan, tetapi sedang dilaksanakan,” jelasnya.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan:
• RM83.7 juta untuk Perumahan Kasih Johor (PKJ) Subsidi Bina Baharu,
• RM100 juta bagi penyelenggaraan PPR, RSK dan flat awam, serta
• RM40 juta untuk PKJ Wakaf Johor — membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah kepada keluarga berpendapatan rendah di atas tanah wakaf.
“Kesungguhan ini memperlihatkan kerajaan benar-benar menyelami denyut nadi rakyat,” ujarnya.
Jelas Mohd Jafni, selain aspek perumahan, belanjawan ini turut memperkukuh jaringan sosial melalui Program Bantuan Kasih yang diperluas kepada penduduk PPR dan RSK, merangkumi bantuan makanan asas, pendidikan dan kecemasan, di samping bantuan khas kepada pekerja pembersihan PBT sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka menjaga kebersihan bandar.
“Dalam bidang digitalisasi, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor dengan peruntukan RM2.65 juta untuk mempercepat tindak balas terhadap aduan rakyat, serta memperkukuh pelbagai sistem digital seperti iSPEKS, Sistem Hasil Tanah 3.0, dan JohorPay.
“Komunikasi digital di kawasan perumahan rakyat turut dipertingkat dengan peruntukan RM700,000, sementara penyediaan WiFi Premium Maju Johor di hospital, terminal bas, PPR dan RSK akan meningkatkan akses rakyat kepada dunia digital iaitu seiring visi Johor Smart City.”
Melalui agenda bandar pintar, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM13 juta bagi Transformasi Bandaraya Johor Bahru, RM10.53 juta bagi pemasangan CCTV di kawasan tumpuan utama, dan RM52.25 juta untuk naik taraf landskap, taman awam serta laluan pejalan kaki.
“Segala langkah ini membuktikan Belanjawan Johor 2026 dirangka dengan keazaman untuk bertindak, bukan sekadar merancang. Kerajaan Negeri memikul tanggungjawab memastikan setiap dasar diterjemah kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat,” tegasnya.
Mohd Jafni menegaskan, beliau bersama jentera EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memastikan semua inisiatif dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan memberi impak nyata kepada rakyat.
“Insya-Allah, dengan semangat Maju Johor 2030, kita akan terus melangkah sebagai kerajaan yang bekerja untuk rakyat — melaksanakan, bukan sekadar menjanjikan,” katanya lagi. – UMNO Online
