Ahmad Zahid Tegaskan Kerajaan Terus Perkukuh Pembangunan Sukan Secara Inklusif

PUTRAJAYA, 13 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pembangunan sukan negara secara inklusif, selaras dengan kejayaan cemerlang atlet Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2025.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, kejayaan atlet negara yang muncul juara dunia dalam badminton, prestasi membanggakan dalam e-sukan serta pencapaian pelbagai disiplin lain menjadi bukti bahawa Malaysia kini berada pada landasan kukuh sebagai sebuah negara berdaya saing tinggi dalam arena sukan global.

“Semangat ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh dasar dan inisiatif pembangunan sukan yang menyeluruh dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 2/2025 di Putrajaya hari ini.

Ujarnya, mesyuarat tersebut menumpukan perbincangan kepada persiapan negara menjelang Sukan SEA dan Sukan Para 2025, menilai prestasi atlet, serta merangka strategi mempertingkatkan daya saing dan pencapaian pingat di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Dalam mesyuarat ini, kami telah meluluskan Program Ujian Kecergasan Nasional OKU sebagai mekanisme rasmi saringan kecergasan bagi calon OKU dalam sektor awam. Ini merupakan sebuah langkah signifikan dalam memperkukuh prinsip kesamarataan peluang dan pembangunan insan tanpa diskriminasi.

“JKPS juga bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Orang Asli melalui kerjasama MSN dan KPM, dengan SMK RPS Betau, Kuala Lipis diiktiraf sebagai pusat latihan utama bagi mencungkil dan membangunkan bakat atlet Orang Asli yang berpotensi ke peringkat tertinggi.

“Insya-Allah, melalui usaha bersepadu Kerajaan bersama semua pihak dalam ekosistem sukan negara, Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia, memperkukuh industri sukan tanah air serta menghasilkan masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu melalui kekuatan sukan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO