Runding Cara Adik-Beradik, Elak Perpecahan Dalam Parti – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menegaskan bahawa sebarang keputusan atau perbezaan pendapat dalam parti perlu diselesaikan secara berhemah dan dengan semangat kekeluargaan bagi mengelak perpecahan dalam UMNO.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N.9 Tempasuk, Kota Belud, walaupun sebelum ini namanya telah disebut mewakili parti.

Menurut Tengku Azman, tindakan Abdul Rahman mencerminkan jiwa besar dan keutamaan terhadap kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi.

Katanya, keputusan itu menunjukkan beliau memahami sensitiviti politik tempatan dan menghormati kehendak akar umbi.

“Kami memahami situasi ini kerana kami juga masing-masing sebagai Ketua UMNO Bahagian tidak mahu perkara sebegini berlaku. Runding elok-elok dan runding cara adik-beradik. Itulah semangat sebenar dalam UMNO,” tegas beliau dalam hantaran di laman Facebooknya.

Tambahnya, keputusan parti untuk meletakkan calon luar Bahagian sememangnya boleh menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan kepimpinan tempatan, namun ia perlu ditangani dengan bijaksana agar tidak menjejaskan kekuatan jentera dan perpaduan ahli di peringkat akar umbi.

“Kita sering menyeru supaya mengutamakan perpaduan, tetapi kadang-kadang tanpa sedar kita sendiri boleh menjadi punca perpecahan. Maka sebab itulah pentingnya rundingan secara tertutup, penuh adab dan hormat antara pemimpin,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Tengku Azman turut menzahirkan sokongan dan doa kejayaan kepada Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan, yang akan bertanding di DUN Tempasuk mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO