BN Tawar 80 Peratus Calon Baharu, Lebih Tinggi Berbanding GRS Dan Warisan – Mohd Rafi

KOTA KINABALU, 13 Nov — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, Barisan Nasional (BN) membuktikan komitmen untuk melakukan pembaharuan apabila menampilkan 80 peratus calon muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.

Beliau berkata, angka itu jauh lebih tinggi berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang hanya menampilkan sekitar 30 peratus calon baharu dan Warisan sebanyak 40 peratus.

“Langkah ini menunjukkan keberanian BN untuk memperbaharui barisan kepimpinan dan memberi peluang kepada generasi pelapis membawa idea segar serta tenaga baharu demi kemajuan Sabah.

“BN Tidak ketandusan kepimpinan malah semua calon yang diketengahkan dalam PRN ini merupakan anak jati Sabah yang mewakili hampir keseluruhan kaum utama di negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.

Antara muka baharu yang diketengahkan BN ialah Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin (N.12 Sulaman), Alfian bin Sambas (N.13 Pantai Dalit), Arfanshah Abdul Gafar (N.17 Darau), Laiji Ompongoh (N.46 Nabawan), Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi (N.41 Liawan), Mohd Zharif Aizat Samsuddin (N.53 Sekong), Dr. Elmiariezan Ardan (N.68 Apas) dan Datuk Awang Aslee Lakat (N.33 Kuala Penyu).

Menurut Mohd Rafi, BN tampil dengan kombinasi pengalaman dan tenaga muda yang diyakini mampu membawa perubahan serta bekerja untuk kesejahteraan rakyat dan masa hadapan Sabah.

“Undilah yang baharu dengan idea yang segar daripada memilih mereka yang telah terbukti melakukan banyak kegagalan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pembaharuan yang dibawa BN bukan sekadar menukar wajah calon, tetapi melibatkan pendekatan politik yang lebih dekat dengan rakyat dan berpaksikan keikhlasan untuk berkhidmat.

Katanya, calon baharu ini terdiri daripada golongan profesional, usahawan, dan pemimpin masyarakat yang memahami realiti semasa serta kehendak rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau turut menambah bahawa keputusan menampilkan ramai calon baharu mencerminkan keyakinan kepimpinan tertinggi BN terhadap keupayaan anak muda Sabah untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negeri.

“BN melihat anak muda sebagai aset masa depan politik negeri ini, dan kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada perjalanan membina Sabah yang lebih makmur,” katanya.

Mohd Rafi juga menyeru jentera BN di semua peringkat agar terus memperkukuh gerak kerja mendekati rakyat dengan mesej perpaduan dan kestabilan.

“BN membawa mesej kematangan politik, bukan retorik. Kita mahu rakyat melihat bahawa BN ialah pilihan yang stabil, berpengalaman dan bersedia memimpin Sabah ke arah kemajuan yang lebih seimbang,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO