Johor Bentang Belanjawan Berjumlah RM2.5 Bilion, Perkenal 260 Inisiatif Baharu

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion, meningkat berbanding RM1.999 bilion tahun lepas.

Beliau memperkenal 260 inisiatif baharu, merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memastikan setiap hasil negeri dilunaskan dan dipulangkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai dasar, program dan projek projek berskala besar.

“Belanjawan Johor 2026 dirangka dengan iltizam dan tekad bahawa setiap inisiatif yang akan dilaksanakan adalah, tidak lain tidak bukan, untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Justeru, berpaksikan tema ‘Bangsa Johor Sejahtera’, belanjawan ini akan dibentangkan selaras dengan Enam Teras Maju Johor merangkumi 260 inisiatif,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Onn Hafiz dalam pada itu meluahkan kesyukuran dengan ekonomi dan prestasi negeri yang memberangsangkan.

Menurut beliau ini kerana sepanjang tempoh tiga tahun enam bulan, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion, menghasilkan lebih 64,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran yang terus kekal rendah pada 2.3 peratus.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar 6.4 peratus menjadikan Johor negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia. Nilai hasil jualan pertanian RM27.2 bilion juga adalah yang tertinggi dalam negara.

“Dari segi hasil negeri pula, kita bakal mencecah RM2.5 bilion, jauh melangkaui unjuran asal yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2025.

“Lebih dari itu, kutipan zakat, hasil Pihak Berkuasa Tempatan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor dan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, semuanya menunjukkan peningkatan yang amat positif,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO