PRN: Persaingan Dasar, Hala Tuju Parti Untuk Masa Depan Sabah
KOTA KINABALU, 13 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menyaksikan lebih daripada tiga calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, namun tumpuan utama tetap pada calon Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Bendahari UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, setiap calon mempunyai rekod dan pencapaian tersendiri untuk dinilai rakyat.

“Ini adalah pilihan raya umum negeri, bukan pilihan raya kecil – maka pertandingan ini mewakili persaingan dasar dan hala tuju parti untuk masa depan Sabah.
“Ketiga-tiga parti mempunyai pengalaman memerintah dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai. Pengundi Usukan berpeluang melihat bukan hanya calon, tetapi kemampuan parti-parti ini membawa Sabah ke hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, di DUN Usukan, Warisan mencalonkan Isnaraissah Munirah Majilis, GRS mencalonkan Datuk Japlin Akim, manakala BN menampilkan beliau.
Ulasnya lagi, penyokong tegar setiap parti memang kukuh pendiriannya, namun pengundi di tengah yang menilai secara objektif akan menjadi penentu keputusan.
“Persaingan di Usukan wajar berlangsung secara matang dan beradab. Rakyat harus diberi ruang menilai dengan tenang agar selepas pilihan raya, keharmonian dan perpaduan di Usukan terus terjaga,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah.
Manakala hari penamaan calon pula adalah pada 15 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah. – UMNO ONLINE
