Wan Rosdy Pengerusi Mesyuarat Isu Tanah Cameron Highlands, Tegas Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan komitmen pihaknya untuk menangani isu tanah di Cameron Highlands secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan kelestarian pembangunan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah Cameron Highlands telah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

“Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan dan penyelesaian tanah di Cameron Highlands, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh.

“Saya dan Encik Kamarul Iskandar Nordin, Pegawai Daerah Cameron Highlands, mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah Cameron Highlands di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS.

“Langkah ini juga selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan pengurusan tanah dilaksanakan secara telus, teratur dan berkesan demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya lagi pendekatan Kerajaan Negeri sentiasa berlandaskan ketelusan, keberkesanan dan kecekapan demi memastikan kemakmuran rakyat terus dipertahankan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO