Monsun Timur Laut 2025/2026: Ahmad Zahid Seru Rakyat Siap Siaga, Berjaga-jaga

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat agar sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula esok, 13 November 2025, dan berterusan sehingga Mac 2026.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), memaklumkan sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara sepanjang tempoh monsun tersebut.

“Hujan berpanjangan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai, manakala tiupan angin timur laut yang kencang pula berpotensi menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras air laut di perairan Laut China Selatan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya menyeru agar semua pihak khususnya di kawasan berisiko untuk sentiasa bersiap siaga dan peka terhadap amaran cuaca semasa yang dikeluarkan oleh MET Malaysia dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya, kesiapsiagaan hari ini adalah perlindungan untuk hari esok.

“Kesiapsiagaan kita hari ini adalah perlindungan untuk hari esok. Elakkan kawasan berisiko dan utamakan keselamatan diri serta keluarga,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO