MB Johor Turun Padang ‘Spot Check’ Lampu Jalan Di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang meninjau keadaan lampu jalan di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) serta sekitar Persimpangan Rinting–Seri Alam, susulan aduan yang diterimanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian lampu jalan berfungsi, namun masih terdapat beberapa lokasi utama yang hanya berfungsi sebahagian sahaja.

“Semalam tidak ada lampu, hari ini ada lampu.

“Saya dapat aduan… bila saya turun boleh pula baiki, tidak boleh macam itu. Jangan saya tidak turun lepas itu berlaku lagi.

“Macam itu ada satu lampu mati, kenapa tu? Betulkan semua,” katanya menerusi hantaran video di hantaran Facebook.

Katanya keadaan ini boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan industri dan persimpangan utama pada waktu malam.

“Sehubungan itu, saya telah mengarah Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi terlibat untuk mengemukakan laporan lengkap dan mengambil tindakan segera bagi menggantikan atau membaiki lampu yang tidak berfungsi,” katanya.

Onn Hafiz turut memaklumkan penekanan turut diberikan kepada penambahbaikan pencahayaan di kawasan-kawasan gelap dan berisiko tinggi.

Beliau turut menegaskan supaya penyelenggaraan berkala dilaksanakan secara lebih teratur dan berjadual agar isu lampu jalan rosak dapat dipantau serta dicegah daripada berulang.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan pembaikan dan memastikan semua infrastruktur pencahayaan di Johor berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO