Dr Asyraf Terus Prihatin, Bantu Pelajar Cemerlang Tercicir Pelajaran
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan keprihatinan terhadap nasib pelajar cemerlang yang terpaksa melupakan hasrat menyambung pengajian akibat kekangan kewangan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkongsi kisah menyentuh hati seorang pelajar, Nurul Syafiqah yang memperoleh 7A dalam SPM tetapi terpaksa menolak tawaran ke universiti kerana ibunya tidak mampu menampung kos pengajian.
Ibunya merupakan ibu tunggal dan bekerja sebagai pencuci rumah dengan pendapatan hanya RM500 sebulan, menyara empat anak termasuk dua orang anak orang kelainan upaya (OKU).
“Saya terpaksa tolak tawaran universiti sebab mak tak dak duit, hendak bagi kakak lepas dulu universiti, lagipun jauh di Cyberjaya dan nak kena jaga abang dan kakak OKU,” kata Syafiqah ketika mengadakan panggilan video bersama Dr Asyraf.
Dr Asyraf memaklumkan kisah Syafiqah sampai ke pengetahuannya melalui Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal, sebelum MARA mengambil tindakan segera.
Rentetan itu pihaknya menawarkan pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM) kepada Syafiqah, di samping bantuan oleh Yayasan Pelajaran MARA sebanyak RM1,000 dan sebuah komputer riba untuk persiapan Syafiqah memulakan pengajian,
“Alhamdulillah, adik Syafiqah akan melaporkan diri di IKM Sungai Petani bidang Diploma Teknologi Awam.
“Di IKM, segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh MARA dan akan mendapat wang saku bulanan RM300.
“Saya selalu tegaskan, hanya ilmu sahaja boleh merubah kehidupan. Maklumkan kepada saya atau MARA jika ada kes anak cemerlang tercicir hanya kerana kemiskinan,” ujar beliau. – UMNO Online
