Onn Hafiz Bentang Belanjawan Johor 2026 ‘Bangsa Johor Sejahtera’ Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Khamis ini, pukul 9.30 pagi di persidangan Dewan Undangan Negeri serta akan disiarkan secara langsung di laman Facebooknya dan siaran radio tempatan.

Menurut Onn Hafiz, belanjawan yang bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ bakal dibentangkan dengan tumpuan kepada Agenda Maju Johor 2030 melalui enam teras utama yang memacu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Belanjawan kali ini memberi penekanan menyeluruh terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Selain merancakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan serta memperkukuh pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur strategik, pelbagai insentif baharu turut diperkenalkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosialnya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu lagi, pembentangan tersebut bukan sekadar sebuah belanjawan, tetapi mencerminkan perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang menyeluruh sebagai manifestasi Kerajaan Negeri untuk membina masa depan Johor yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan.

“Bersama kita terus melangkah, memperkasa Johor menuju negeri maju, makmur dan sejahtera. Insya-Allah,” katanya.

Untuk rekod, Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’, berjumlah RM1.999 bilion, meningkat berbanding RM1.799 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO