Townhall: Bukti Suara Rakyat Sentiasa Diberi Ruang – Abdullah Zaki
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Program Townhall Rakyat (THR) menjadi simbol bahawa suara rakyat sentiasa diberi ruang dan nilai dalam pentadbiran Negeri Pahang, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil.
Ujarnya, program yang diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu merupakan inisiatif baik, bertepatan dengan semangat kerajaan yang mendahulukan rakyat.

“Program THR Pahang yang diadakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merupakan satu inisiatif amat baik dan bertepatan dengan semangat kerajaan yang mendahulukan rakyat.
“Program ini menjadi wadah penting untuk rakyat pelbagai lapisan menyampaikan pandangan, masalah dan cadangan secara langsung kepada pemimpin tertinggi negeri.
“Langkah berani dan terbuka ini menunjukkan keikhlasan kerajaan negeri dalam mendengar denyut nadi rakyat, bukannya sekadar membuat keputusan dari atas tanpa memahami realiti di bawah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, program yang diadakan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2026 ini membolehkan segala hasrat disampaikan secara terus kepada Kerajaan Negeri Pahang tanpa perantara.
“Melalui sesi seperti ini, setiap suara sama ada daripada penjawat awam, peniaga kecil, anak muda, mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dapat disampaikan terus tanpa perantara. Lebih menarik, program ini diadakan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2026.
“Ini memberi peluang kepada rakyat untuk memberi input sebenar tentang keperluan dan keutamaan di kawasan masing-masing, menjadikan belanjawan kelak benar-benar mencerminkan hasrat rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa langkah Menteri Besar turun padang memperlihatkan sifat kepimpinan yang dekat di hati rakyat.
“Langkah Menteri Besar turun padang dan mendengar sendiri suara rakyat ini memperlihatkan sifat kepimpinan yang dekat di hati rakyat, berpaksikan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Inilah contoh kepimpinan berjiwa rakyat yang wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Program THR ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga menjadi simbol bahawa suara rakyat sentiasa diberi ruang dan nilai dalam pentadbiran Negeri Pahang yang harmoni serta progresif,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang dijemput hadir ke Program THR bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang akan berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, segala keperluan program telah disiapkan sepenuhnya.
Jelas beliau, THR kali ini menyasarkan kehadiran sekitar 1,000 tetamu terdiri rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang. – UMNO Online
