Kerajaan Johor Perluas Program Bangsa Johor Bahagia Demi Kesejahteraan Rakyat

JOHOR BAHRU, 11 Nov – Kerajaan Negeri Johor terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluasan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang bertujuan meningkatkan ‘kualiti hidup masyarakat, khususnya di kawasan penempatan kos rendah.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mempersembahkan perkara itu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam sesi mengadap di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

“Ia juga merupakan sebuah projek di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Negeri Johor.

“Program berkenaan menempa beberapa kejayaan melalui projek komuniti perintis yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai (BJB1.0) sejak tahun 2019 seterusnya diperluaskan ke Flat Plentong Utama (BJB2.0) pada tahun ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Turut berangkat dan hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman,; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad; Ketua Projek BJB, Prof SR Dr Maimunah Sapri, dan Pengarah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rashidi.

Ujar Onn Hafiz, susulan kejayaan tersebut, kerajaan negeri kini berhasrat memperluaskan pelaksanaan BJB 3.0 ke Flat Larkin (Johor Bahru) dan Flat Temenggong (Kulai) bagi memperkukuh usaha mempertingkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

“Program BJB 3.0 pada kali ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

“Perancangan program BJB 3.0 akan menerapkan tema warisan dan semangat baru dengan fokus menangani cabaran perumahan berstrata, peningkatan taraf sosioekonomi, peluang pembangunan remaja, platform perkembangan generasi dan keupayaan komuniti menerima perubahan.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO