Kenaikan Cukai MBAS: Tanda Kegagalan Kerajaan Negeri Kedah Cari Sumber Hasil
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Kenaikan cukai Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjadi bukti kepada kegagalan Kerajaan Negeri Kedah yang ditunjangi Perikatan Nasional (PN) mencari sumber pendapatan untuk membangunkan negeri.
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara tersebut bertentangan dengan zaman Negeri Kedah diperintah oleh Barisan Nasional (BN) selama lebih 30 tahun.

“Mereka kata zaman BN dulu cukai tak naik sebab kerajaan negeri sama dengan pusat. Pada zaman pemerintahan BN, kita pandai urus negeri. Kita menjalankan dasar kutip hasil daripada pembangunan, bukan tekan poket rakyat.
“Kejayaan Kulim Hi-Tech Park, projek-projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), PKNK, kita bina Bandar Darul Aman melalui Bina Darulaman Berhad (BDB)… itu semua yang jana hasil negeri dan buka peluang kerja kepada rakyat.
“Hari ini apabila pelaburan tak masuk, tiada projek… ekonomi lembab. Pengumuman demi pengumuman kononnya pelaburan masuk tetapi hakikat sebenar di bawah realitinya apa yang dirasa oleh rakyat?” soalnya menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman sosial.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, Kerajaan BN yang memerintah Negeri Kedah sebelum ini lebih bijak kerana hanya mengutip hasil daripada pertumbuhan, bukan daripada rakyat.
“Jadi, jalan paling mudah akhirnya naikkan cukai rakyat sampai beratus peratus. Kemuncaknya sampai 245 peratus. Ini bukan strategi ekonomi, ini tanda kegagalan untuk kerajaan negeri dan pimpinan fikir cari sumber hasil lain.
“Selama BN memerintah Kedah 30 ke 40 tahun tak pernah naikkan cukai tetapi rakyat dalam keadaan baik sahaja. Jadi, kami nak maklumkan kepada pihak terbabit bahawa kerajaan sebelum ini bijak, pandai kutip hasil melalui pertumbuhan. Bukan daripada penderitaan rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada zaman BN juga setiap sen diaudit dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara temasuklah mengenai persatuan bola sepak.
“Isu kedua yang mereka asyik ulang, kononnya BN ini tinggal hutang berjuta. Hutang zaman BN itu hutang pembangunan. Kita buat jalan, sekolah, infrastruktur untuk rakyat. Bukan hutang operasi ataupun pentadbiran untuk tampung kelemahan pentadbir dan tadbir urus kerajaan negeri.
“Satu lagi perkara yang mereka sering ulang kononnya bab bola ini Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pula entiti berasingan. Zaman BN, penaja swasta dan Syarikata Berkaitan Kerajaan (GLC) yang sokong, bukan ‘korek’ duit kerajaan negeri.
“Daripada zaman BN itu jugalah setiap sen di audit dan dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara. Sekarang ini, jelaskanlah akaun ini macam mana, nombor tak jelas… masalah sendiri, tetapi salahkan BN. Itulah modal mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
