Perkukuh Kesatuan Jentera, Hadapi PRN Sabah Dengan Semangat Satu Pasukan – Mohd Rafi
KIMANIS, 11 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyeru agar seluruh jentera Barisan Nasional (BN) memperkukuh kesatuan dan perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung 29 Nov ini.
Beliau berkata, semangat satu pasukan amat penting bagi memastikan BN terus menjadi pilihan rakyat Sabah dalam usaha mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negeri dan merealisasikan usaha ‘Bikin Balik Sabah’.
“Kesepaduan dan kekuatan jentera di setiap peringkat menjadi nadi kemenangan kita. Setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing tidak kira besar atau kecil, asalkan bergerak dalam satu arah yang sama untuk memastikan kejayaan BN di semua DUN yang ditandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Bongawan, di sini, semalam.
Menurut Mohd Rafi, jentera BN kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya selepas pelancaran rasmi oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam di samping pengumuman calon-calon BN yang dilaksanakan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Pelancaran jentera dan pengumuman calon semalam menjadi isyarat bahawa perjuangan kini benar-benar bermula. Kita perlu turun ke lapangan, dekati rakyat dan sampaikan mesej bahawa BN adalah parti yang membawa kestabilan dan kemajuan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan BN bukan hanya terletak pada calon semata-mata, tetapi pada kekuatan jentera akar umbi yang setia dan bekerja tanpa mengenal penat lelah.
“Setiap PDM memainkan peranan besar dalam memastikan mesej perjuangan BN sampai kepada rakyat. Inilah masa untuk kita buktikan keutuhan semangat perjuangan, disiplin dan kesetiaan kepada parti,” katanya lagi.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut menyeru agar semua ahli dan penyokong BN menolak politik perpecahan serta fokus kepada agenda membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

“Rakyat mahu melihat kesungguhan kita. Mereka mahukan kestabilan, dan BN telah terbukti sebagai parti yang mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan Sabah. Maka, marilah kita terus bersatu hati demi kemenangan bersama,” katanya.
Perjumpaan itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kimanis merangkap Ahli Parlimen di sini, Datuk Mohamad Alamin selaku calon BN di DUN ini. Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin; Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman dan kepimpinan tempatan serta jentera-jentera di sini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 dan 29 November adalah hari pengundian.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
