PRN Sabah: BN Optimis Raih Kepercayaan Rakyat, Pastikan Kemenangan
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Barisan Nasional (BN) optimis untuk meraih kepercayaan rakyat dan memastikan kemenangan diperolehi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghadiri Pelancaran Jentera BN Sabah pada Ahad.

“Saya telah menghadiri Pelancaran Jentera BN Sabah untuk menghadapi PRN Sabah ke-17. Majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, The Pacific Sutera Hotel ini disempurnakan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan BN Sabah.
“Pelancaran ini membawa tema ‘Kita Bikin Balik Sabah’, sebuah seruan yang menekankan iltizam BN untuk mengembalikan kestabilan dan pembangunan negeri melalui kepimpinan berpengalaman serta gerak kerja terancang di semua peringkat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat beranggapan bahawa Pelancaran Jentera BN Sabah menjadi titik permulaan baharu memperkukuh parti di negeri tersebut.

“Selain itu, kempen ‘Radu-Radu, Radu Sampai Menang’ diperkenalkan sebagai pembakar semangat jentera untuk menghadapi PRN yang semakin hampir.
“Pelancaran Jentera BN Sabah ini menjadi titik permulaan baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan parti di negeri ini.
“Dengan semangat perpaduan, disiplin gerak kerja dan sokongan akar umbi, BN optimis untuk meraih kepercayaan rakyat serta memastikan kemenangan dalam PRN Sabah 2025,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
