Kehadiran Ribuan Jentera BN Sabah, Kesiapsiagaan ‘Kita Bikin Balik Sabah’ – Rosni Zahari

KOTA KINABALU, 10 Nov – Pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Sabah, semalam memperlihatkan kehadiran lebih 5,000 orang mengambarkan pergerakan berskala besar bagi parti BN di Sabah, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Ujarnya, pelancaran jentera BN tersebut bukan sahaja ‘ceremonial’ tapi strategi kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Dengan pelancaran jentera ini juga memperlihatkan sebagai permulaan rasmi kempen dari BN memasuki fasa ‘aggressive campaigning’ untuk PRN ke-17 Sabah.

“Kehadiran kepimpinan pusat, negeri-negeri, bahagian dan juga penyokong parti jelas menunjukkan bahawa pihak pusat memberi perhatian yang khusus kepada Sabah.

“BN menghantar mesej bahawa parti telah bersedia untuk memasuki era pilihan raya bukan sekadar mengumumkan tetapi memperlihatkan kekuatan logistik dan sokongan akar umbi dan juga amaran kepada pesaing bahawa BN masuk kempen dengan kekuatan penuh,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata slogan “Kita Bikin Balik Sabah” membawa mesej bahawa BN komited untuk menawarkan sesuatu yang lebih spesifik dan realistik kepada pengundi Sabah.

“Slogan ‘Kita Bikin Balik Sabah’ bukan sekadar slogan pilihan raya tapi mencerminkan keyakinan jentera pilihanraya BN untuk membawa perubahan khas kepada Sabah.

“Bagi pengundi Sabah ia memberi isyarat bahawa BN akan menawarkan sesuatu yang spesifik, perubahan, komitmen,kepada pembangunan negeri yang boleh mempengaruhi persepsi dan corak pengundian,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO