RIMBUN: Kaedah Mengajar Perlu Disesuaikan Ikut Zaman – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan bahawa kaedah pengajaran guru-guru perlu disesuaikan mengikut peredaran zaman pada masa kini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kehadiran teknologi semakin pesat kini dilihat telah menembusi dinding sempadan moral yang telah dibina untuk anak-anak sebelum ini.

“Malaysia dah 68 tahun merdeka dan dunia teknologi telah masuk ke dalam pendidikan. Barangkali kepada pengubahsuaian kepada kaedah mengajar guru pun mesti disesuaikan dengan keadaan sekarang.
“Ini kerana satu daripada elemennya ialah dalam dunia digital yang datang dalam semua kawasan, ‘cross the border and line’. Adanya dunia digital ini telah menembusi dinding sempadan yang kita bina untuk anak-anak pada masa kini.
“Elemen digital ini menembus benteng moral yang kita ada. Bagaimana masyarakat nak menghadapi perkara ini? Ini adalah persoalan bukan hanya untuk guru, sekolah.. tetapi untuk seluruh masyarakat, bagaimana kita nak kawal apabila datang dunia digital dalam isu berkaitan benteng moral yang kita pertahankan?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0 yang berlangsung pada Jumaat.
Turut serta sebagai moderator pada sesi wawancara tersebut ialah Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang merangkap bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin.
Mahdzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah turut mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang berjaya menganjurkan RIMBUN 1.0.

“Daripada semua kes yang berlaku baru-baru ini, timbul persoalan mengenai sesuai ke umur 16 tahun ini pakai gajet? Ini persoalan yang menjadi diskusi masyarakat. Terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menganjurkan RIMBUN ini sebagai ruang diskusi masyarakat untuk isu-isu sebegini.
“Kemudian bagaimana nak melatih guru-guru? Adakah cukup dengan subjek-subjek teras? Pada saya, sistem yang untuk melatih para pendidik kita sudah agak lengkap dan sempurna. Sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun di sekolah-sekolah sarjana muda di universiti.
“Pada saya, cara latihan tersebut masih boleh diterima soalnya mungkin pengubahsuaian ini perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri sesuai dengan zamannya,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
