Wanita UMNO Segamat Mantapkan Gerak Kerja Hadapi PRU – Norshida

SEGAMAT, 10 Nov – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim menegaskan  penglibatan wanita dalam parti memainkan peranan penting sebagai tulang belakang jentera Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Johor berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan kepimpinan Wanita UMNO  Segamat bersama Ketua UMNO Bahagian terbabit, Datuk Zahari Sarip, yang diadakan semalam.

Menurut Norshida, pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuh penglibatan wanita dalam gerak kerja parti, selain memastikan usaha merealisasikan agenda Maju Johor dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi.

“Peranan wanita dalam parti tidak dapat dinafikan. Mereka sentiasa menjadi jentera utama yang turun padang, berinteraksi dengan masyarakat dan membantu memudahkan urusan harian rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya menambah, penglibatan aktif Wanita UMNO dalam setiap aktiviti amat penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.

“Kehadiran dan kesungguhan wanita dalam perjuangan ini memberi gambaran jelas bahawa UMNO dan BN sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat,” katanya.

Jelasnya lagi, pelbagai isu dibincangkan dalam pertemuan berkenaan termasuk strategi meningkatkan penyertaan wanita, memperkukuh jaringan di peringkat cawangan serta langkah-langkah proaktif bagi mendekati dan mendengar masalah rakyat.

“Diharapkan melalui usaha yang digerakkan ini, rakyat akan terus yakin dengan keupayaan UMNO dan BN sebagai parti yang membela kepentingan mereka,” ujar beliau.

Norshida turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat dan kesatuan dalam kalangan Wanita UMNO Johor akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan parti dalam menghadapi PRU akan datang.

“Perjumpaan ini memberi momentum kepada semua wanita untuk terus berjuang dalam agenda kebajikan dan pembangunan negeri serta memperkukuh kepimpinan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO