PRN Sabah: Mohamad Hasan Seru Kekalkan Semangat Perpaduan
KOTA KINABALU, 9 Nov — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Sabah yang berlangsung dengan penuh semangat dan perpaduan di Kota Kinabalu, petang tadi.
Beliau berkata, pelancaran jentera itu membuktikan kesiapsiagaan BN Sabah dalam menghadapi cabaran menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.
“Alhamdulillah, majlis pelancaran jentera BN Sabah hari ini berlangsung dengan penuh semangat dan perpaduan. Terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta jentera yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

KOTA KINABALU, 9 Nov — Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong,Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), kepimpinan parti serta jentera melaungkan slogan ‘Radu Tetap Radu ‘ ketika Pelancaran Jentera Barisan Nasional PRN Sabah di Sutera Harbour hari ini. Foto – UMNO Online

Menurut Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, kekuatan sebenar BN terletak pada semangat setiakawan dan kerja tersusun yang menjadi asas perjuangan parti sejak sekian lama.
“Inilah masanya kita tunjukkan kesatuan dan kekuatan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan untuk rakyat. Dengan kerja tersusun dan semangat setiakawan, insya-Allah kejayaan akan menjadi milik kita bersama,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri kepimpinan tertinggi BN Sabah termasuk Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden PBRS, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Friends of BN serta semua pimpinan BN dan penyokong-penyokong parti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online
