Dr Elmiariezan Tekad Angkat Suara Dan Masa Depan Anak Muda

KOTA KINABALU, 10 Nov – Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Tawau, Dr Elmiariezan Ardan menegaskan komitmennya untuk memberi perhatian serius terhadap cabaran yang dihadapi golongan muda di kawasan itu yang kini berdepan tekanan ekonomi dan peluang pembangunan yang terhad.

Menurutnya, anak muda Apas hari ini berhadapan dengan realiti getir seperti pengangguran, gaji rendah serta peluang ekonomi yang sempit sehingga memaksa sebahagian daripada mereka berhijrah ke luar daerah untuk mencari rezeki.

“Suara anak muda sering diketepikan, sedangkan merekalah tenaga utama yang mampu menggerakkan perubahan politik dan pembangunan di peringkat akar umbi. Situasi itu berlaku meskipun Apas memiliki potensi besar dalam pelbagai sektor jika dibangunkan secara lebih strategik.

“Anak muda terpaksa berhijrah ke luar daerah untuk mencari rezeki, meninggalkan kampung halaman yang sebenarnya kaya dengan potensi. Dalam masa yang sama, akses pendidikan, latihan kemahiran, dan kemudahan asas masih belum menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar.

“Isu pengangguran, gaji rendah, dan peluang ekonomi yang sempit terus menghantui anak muda Apas. Anak muda Apas bukan tidak mahu maju tetapi mereka memerlukan kepimpinan yang mendengar, memahami, dan bertindak,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Penyelaras Pemuda Apas berkata sudah tiba masanya dasar pembangunan belia disusun semula agar anak muda menjadi pemain utama, bukan sekadar penonton politik tempatan.

“Kita mahu melihat lebih ramai pemimpin muda dari Apas yang berani bersuara, berilmu, dan berjiwa rakyat. Kita mahu politik yang memberi ruang kepada generasi muda untuk mencorak masa depan mereka sendiri dan bukan politik yang hanya memanfaatkan mereka pada musim pilihan raya.

“Oleh itu, perjuangan kita ialah untuk memastikan anak muda Apas diberi peluang sebenar dalam pekerjaan, pendidikan, dan kepimpinan.

“… dan masa depan Apas bergantung kepada sejauh mana kita berani mempercayai dan mengangkat generasi muda ini ke hadapan,” katanya lagi.

Dengan iltizam tersebut, beliau yakin Apas mampu menjadi model kawasan yang melahirkan pemimpin muda progresif, bersemangat membangunkan Tawau dan Sabah keseluruhannya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO