Ahmad Zahid Tiup Semangat Jentera: BN Sabah Milik Orang Sabah
KOTA KINABALU, 9 Nov – Gelombang biru terus melakar di bumi Sabah apabila Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan semangat baharu dan tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelancaran jentera di Sabah bukan sekadar simbol kekuatan, tetapi tanda kebangkitan semula BN selepas berdepan fitnah dan pelbagai tohmahan yang menyebabkan kekalahan lalu.
“Akibat fitnah dan lontaran pelbagai tohmahan kepada BN, kita pernah kecundang. Namun hari ini, UMNO/BN bangkit semula bersama rakan-rakan parti yang lain seluruh Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN PRN Sabah di Grand Ballroom Sutera Harbour di sini, hari ini.
Turut serta Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), serta pimpinan parti yang lain.
Ahmad Zahid seterusnya menegaskan bahawa perjuangan BN Sabah kekal subur sejak dahulu hingga kini, didukung oleh barisan kepimpinan tempatan yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang.
“Bung tidak sendirian. Beliau dibantu oleh pimpinan dan jentera lain. Tidak ada ‘orang Bung’, tidak ada ‘orang Salleh’ atau ‘orang Rahman’… yang ada ialah BN Sabah,” tegas beliau.
Ahmad Zahid dalam pada itu menolak pelbagai dakwaan serta andaian terhadap BN Sabah dan menyifatkan golongan berkenaan adalah bankrap politik.
“Sabah untuk orang Sabah. BN Sabah adalah untuk orang Sabah. Mereka yang bankrap politik membuat pelbagai andaian,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid lagi, sambutan luar biasa terhadap pelancaran jentera kali ini membuktikan semangat ahli dan penyokong BN semakin membara berbanding PRN lalu.
“Ini isyarat jelas bahawa jentera kita sudah bersedia. BN bangkit semula di Sabah untuk memberikan keselesaan kepada seluruh rakyat. Kita mahu segala yang membelenggu rakyat Sabah dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau menggariskan tekad BN di bawah slogan “Bikin Balik Sabah” untuk memulihkan semula pelbagai aspek termasuk ekonomi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita mesti ‘bikin balik Sabah’… bikin balik ekonomi, bikin balik perpaduan, dan bikin balik masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Katanya lagi terdapat banyak parti baharu yang mahu bertanding, namun rakyat kini lebih menginginkan kestabilan dan penyelesaian kepada masalah mereka.
“Kita hanya ada tiga minggu untuk buktikan kemampuan kita. Rakyat Sabah rindu BN, dan kita akan balas kerinduan itu dengan khidmat terbaik,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
