Ukhuwah Diperkukuh Hadapi PRN Sabah – Mohamad Hasan
KIMANIS, 8 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa kekuatan ukhuwah dan perpaduan antara ahli serta masyarakat setempat perlu terus diperkukuh dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama penduduk sekitar PDM Kampung Brunei, yang diadakan di perkarangan kediaman Saudara Abdul Rahim Jalani, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kimanis, semalam.

“Alhamdulillah, terima kasih atas kehadiran dan sambutan mesra daripada semua yang hadir. Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus diperkukuh dalam menghadapi PRN Sabah, demi memastikan perjuangan UMNO dan kepentingan rakyat terus terbela,” ujar beliau.
Dalam lawatan ke Kimanis itu, Mohamad turut menziarahi beberapa penduduk uzur di sekitar PDM Bandau, dalam kawasan DUN Membakut, sambil meninjau kesiapsiagaan jentera parti di peringkat akar umbi.
Turut hadir bersama beliau ialah Ahli Parlimen Kimanis merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit, Datuk Mohamad Alamin dan timbalannya, Rusman Dulamit, bersama jentera dan petugas-petugas parti yang terus komited mendekati rakyat di kawasan masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online
