Kertas Putih Pendidikan, Kesihatan Perlu Dilaksanakan – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 7 Nov —Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menyarankan agar Kertas Putih Pendidikan dan Kesihatan perlu segera dilaksanakan bagi menangani pelbagai isu asas yang telah lama membelenggu sistem pendidikan dan kesihatan negara.
Ujarnya, sistem pendidikan di Malaysia kini berdepan masalah yang berakar umbi dan memerlukan pendekatan menyeluruh serta penyertaan pelbagai pihak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Masalah pendidikan yang berakar dalam sistem pendidikan di negara ini adalah masalah asas. Kita kena tengok hari ini bagaimana isu-isu yang membarah dalam sistem ini.
“Kenapa kita laksanakan Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0? Saya lihat tiada orang buat inisiatif untuk panggil ibu bapa, guru-guru, badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan duduk semeja membincangkan apa masalah yang timbul.
“Saya lihat tiada pihak yang buat inisiatif untuk panggil ibu bapa, guru-guru, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan duduk semeja membincangkan apa masalah yang timbul,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan kertas putih itu tidak seharusnya hanya bergantung kepada pembuat dasar semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pandangan dan suara daripada golongan pendidik serta ibu bapa di peringkat akar umbi.

“Hari ini kalau nak bercakap soal teknologi, murid-murid di Sabah dan Sarawak pun dah mula mahir. Tetapi adakah kita nak melahirkan anak murid yang bijak teknologi, tetapi jiwanya kosong?
“Kita perlu mendengar suara guru-guru dan ibu bapa yang berada di bawah. Sebab ada juga ibu bapa kadang-kadang tak tahu macam mana mereka nak salurkan aduan. Lebih teruk lagi apabila ada guru-guru kita yang cuba menyatakan pandangan yang mungkin sedikit berbeza dengan pihak kerajaan dan mereka dikenakan tindakan.
“Saya melihat bahawa ada satu ruang dan peluang kebebasan kepada guru ini mestilah kita pertahankan. Sebab kalau kita tidak mendengar masalah mereka, akan jadi masalah dan ia mampu memberi kesan kepada pengajaran anak-anak kita,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
