Khairy Puji Komitmen Pemuda UMNO Anjur RIMBUN, Demi Masa Depan Pendidikan

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memuji komitmen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang melaksanakan Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional (RIMBUN) 2025 sebagai platform membincangkan masa depan pendidikan negara.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata usaha itu membuktikan sayap parti itu cakna terhadap isu penting negara, khususnya dalam menyediakan sistem pendidikan yang relevan menghadapi cabaran semasa.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Datuk Dr Akmal Saleh dan seluruh Pemuda UMNO Malaysia kerana hari ini berani menganjurkan RIMBUN 1.0.

“Orang lain tidak buat, Pemuda UMNO sudah buat kerana cakna dengan masa depan negara kita

“Tahniah berani sentuh benda yang sensitif… tapi jalan terus. Kedua, keberanian Pemuda UMNO hari ini terima kasih jemput Khairy Jamaluddin ke WTC,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika RIMBUN 2.0 yang diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, Mantan Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid; Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pemuda UMNO Machang yang juga merupakan bekas guru Datuk Mohd Shahrizal Armin Suib sebagai panelis.

Terdahulu mengulas berkenaan tajuk forum Reformasi Sistem Pendidikan Zaman AI, beliau berkata pendekatan lebih holistik perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi tersebut.

Menurut beliau ini kerana, para pelajar perlu didedahkan dengan amalan pendidikan bersifat manual dalam memberi ransangan penting untuk perkembangan minda dan nilai insan.

“Sebab itu ada beberapa sekatan yang perlu kita letakkan supaya tidak terlalu bergantung kepada teknologi. Bermula dengan hari ini kita sebut bahawa AI tidak akan menggantikan guru

“Kita pastikan bahawa ada sekatan untuk memastikan bahawa sejauh mana canggihnya AI, ia tidak akan menggantikan guru kerana ada ciri-ciri kemanusiaan, walaupun AI akan sampai tahap yang sangat canggih ia tetap tidak boleh ganti manusia dalam aspek empati, nilai, penilaian yang hanya boleh dibuat oleh seorang manusia berdasarkan kepada nilai agama, falsafah, kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun ada pandangan bahawa AI mampu mengajar tanpa guru dalam masa lima tahun akan datang, pembelajaran asas seperti formula matematik masih perlu diteruskan.

“Saya berpendapat bahawa walaupun AI boleh buat, kita kena paksa juga anak-anak murid belajar juga formula-formula asas matematik. Ini kerana pakar neurologi mendapati rangkaian saraf otak kita tidak akan berkembang dengan baik tanpa melalui proses pembelajaran manual,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO