Latihan Kesiapsiagaan Bencana Kukuhkan Kerjasama Skuad Sayang 3K Dan APM
PUTRAJAYA, 8 Nov — Seramai 31 anggota Skuad Sayang 3K Kebangsaanmenyertai Latihan Kesiapsiagaan Bencana Peringkat Wilayah Persekutuan 2025anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya berlaku pada penghujung tahun.
Penyertaan tersebut diketuai Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta memperkasa peranan sukarelawan wanita dalam membantu ketika bencana.
Latihan yang dilaksanakan oleh APM Wilayah Persekutuan itu bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran asas kepada sukarelawan agar lebih bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana, selain meningkatkan kefahaman terhadap peranan komuniti sebagai barisan pertama tindak balas kecemasan (First Line Responder).
Menurut Hisham Suhaily, penglibatan Skuad Sayang 3K dalam latihan seperti ini penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi penyelamat dan komuniti tempatan.
“Melalui latihan ini, ahli Skuad Sayang 3K mendapat pengalaman praktikal dalam pengurusan bencana dan dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana peranan mereka dapat membantu masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.
Skuad Sayang 3K turut merakamkan penghargaan kepada APM atas jemputan serta kepercayaan yang diberikan untuk bersama-sama menjayakan inisiatif kesiapsiagaan bencana ini, yang disifatkan sebagai langkah proaktif demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti. – UMNO Online
