RIMBUN 1.0 Angkat Isu Pendidikan Era AI Dan Pemerkasaan Guru
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Hari ini berlangsungnya Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional (RIMBUN) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru yang menghimpunkan pelbagai tokoh pendidikan, ahli akademik serta pemimpin muda.
Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO ini diadakan bagi membincangkan hala tuju dan masa depan sistem pendidikan negara dalam era kecerdasan buatan (AI).
Diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia ia dimulakan dengan forum pertama yang menfokuskan Pemerkasaan Institusi Guru.
Bagi sesi ini ia menampilkan Mantan Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid; Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pemuda UMNO Machang yang juga merupakan bekas guru Datuk Mohd Shahrizal Armin Suib sebagai panelis.
Manakala forum kedua membawa perbincangan Reformasi Sistem Pendidikan Zaman AI.
Barisan panel terdiri daripada Mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Mantan Menteri Pendidikan Malaysia Prof Dr Maszlee Malik serta Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh.
Program tersebut dijadualkan berakhir dengan rumusan penutup oleh Pengarah Program RIMBUN, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie, sebelum penyerahan resolusi rundingan kepada Menteri Pengajian Tinggi merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Rundingan ini dijangka menjadi wadah penting dalam merangka cadangan dasar dan pendekatan baharu bagi memperkukuh sistem pendidikan negara menghadapi cabaran era digital dan teknologi masa depan.
Sementara itu Pengarah Program RIMBUN, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie pada ucapan aluannya memaklumkan pelaksanaan program RIMBUN 1.0 ini bagi mengetengahkan isu-isu membabitkan rakyat termasuk pendidikan.
Katanya ia bukan hanya tertumpu kepada pendidikan semata-mata, tetapi akan diperluaskan kepada pelbagai isu lain demi masa depan anak bangsa.
“RIMBUN 1.0 adalah inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia lantaran daripada pelbagai isu yang berlegar dalam kalangan rakyat, terutama isu pendidikan yang ramai berikan pandangan.
“Kita ambil inisiatif mengadakan RIMBUN 1.0 rundingan meja bulat dan bukan sekadar terhad kepada isu pendidikan. Akan ada lebih banyak program di bawah RIMBUN bagi membincangkan bagaimana kita mahu menggerakkan masa depan anak bangsa,” katanya. – UMNO Online
