Pergolakan Dalaman PPBM Cerminan Kegagalan, UMNO Terus Kukuh – TPr Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menyifatkan pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai bukti kelemahan kepimpinan parti itu yang semakin hilang arah serta gagal mengekalkan perpaduan.

Menurutnya, perkembangan terkini melibatkan pemecatan, penggantungan, dan budaya tuduh-menuduh dalam kalangan ahli PPBM menunjukkan parti itu berada dalam keadaan tidak stabil, sehingga menjadi tontonan umum melalui pelbagai ‘podcast’ serta kenyataan yang tular di media sosial.

“Isu ini bukan kecil, apabila satu parti yang kononnya memperjuangkan bangsa sendiri pun tidak mampu menjaga perpaduan dalaman, apa jaminan mereka boleh menjaga kestabilan negara.

“Kita dah lalui zaman politik huru-hara, termasuk penukaran Perdana Menteri beberapa kali dalam tempoh singkat yang memberi kesan kepada ekonomi negara serta keyakinan pelabur.

“Rakyat pula jadi mangsa ketidaktentuan, tapi siapa yang akhirnya kembali menenangkan keadaan? Sudah pasti pemimpin dari parti UMNO yang menenangkan semua keadaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan bahawa UMNO memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan politik dan mengembalikan kestabilan ketika negara berdepan keadaan genting.

“Walau apa pun cabaran sekalipun, UMNO tetap berdiri sebagai parti yang berpengalaman, berstruktur, dan memahami realiti pentadbiran negara. UMNO bukan sempurna, tapi parti ini matang dan tahu untuk bawa rakyat ke depan, kita perlukan kestabilan politik sebagai asas utama.

“UMNO dibina atas semangat perjuangan sebenar manakala PPBM muncul atas sentimen dendam dan emosi. Satu parti terbukti membina, satu lagi masih sibuk bergaduh siapa lebih layak menjadi ketua,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Razak menyeru rakyat menilai masa depan negara berdasarkan rekod kestabilan sesebuah parti, bukan hanya slogan atau janji politik.

“Jadi bila rakyat bercakap soal masa depan Malaysia… jangan pandang slogan semata. Lihat pada siapa yang mampu kekal stabil walau diuji. Lihat pada siapa yang tetap bersama rakyat, bukan hanya waktu pilihan raya.

“Kerana dalam dunia politik yang bergolak ini, kestabilan bukan sekadar pilihan… tapi satu keperluan untuk kelangsungan negara. Maka UMNO adalah sebuah parti stabil, mendengar suara rakyat serta menjadi harapan rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO