Rundingan PH-BN Negeri Sembilan Bukti Komitmen Terhadap Kestabilan Politik
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar menyambut baik saranan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyeru diadakan perbincangan strategik antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Beliau berkata gesaan tersebut bertepatan dengan semangat Kerajaan Perpaduan sekaligus menunjukkan kematangan politik serta komitmen kepimpinan negeri dalam memastikan setiap keputusan dibuat secara kolektif, berasaskan muafakat dan strategi bersama.
“Perbincangan ini penting bagi memastikan kesepaduan politik dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang tersusun dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Ia bukan sahaja dapat mengelakkan pertembungan dasar atau calon antara parti, tetapi juga memperkukuh persefahaman politik di akar umbi, khususnya antara jentera PH dan BN di Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi langkah ini turut memperlihatkan semangat perpaduan khususnya antara dua pemimpin utama negeri iaitu Datuk Seri Aminuddin dan Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam memastikan kestabilan politik di negeri ini terus terpelihara, sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Apabila semua keputusan besar dibuat melalui meja rundingan, ia menggambarkan politik matang dan bertanggungjawab satu ciri penting dalam memastikan Negeri Sembilan kekal menjadi model perpaduan, kestabilan dan kemajuan di Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online
