Perkukuh Hubungan Perdagangan Malaysia–China Melalui CIIE Shanghai 2025

SHANGHAI, 5 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini berbesar hati menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi China International Import Expo (CIIE) 2025 Kelapan atas undangan Kerajaan Republik Rakyat China yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC), Shanghai, China.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat beliau, ini merupakan kali pertama Timbalan Perdana Menteri menghadiri ekspo ini dan kali keenam Malaysia menyertai di peringkat tertinggi sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 2018.

“Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadiri CIIE ketujuh di lokasi sama. Majlis pembukaan CIIE disempurnakan oleh Premier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang.

“Kehadiran Premier Li Qiang menzahirkan komitmen tinggi Kerajaan China terhadap kerjasama perdagangan global dan keterbukaan pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan CIIE sebagai salah satu pameran ekonomi paling berpengaruh di dunia.

“CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang telribat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

“Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke CIIE 2025 merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Shanghai dari 4 hingga 7 November 2025. Dalam lawatan tersebut, Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) Shanghai 2025 pada 6 November 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 10 November 2025 bersempena CIIE,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam CIIE dan penganjuran MIHAS@Shanghai membuktikan kesungguhan negara untuk meneroka pasaran baharu serta memperkukuh kehadiran ekonomi Malaysia di rantau ini.

“China merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia. Melalui platform seperti CIIE dan MIHAS@Shanghai, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk industri halal dan PKS Malaysia menembusi pasaran global bernilai tinggi,” ujar beliau.

Menerusi kenyataan sama beliau mengatakan lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan China, sejajar dengan dasar kerajaan dalam memperluas jaringan pasaran luar negara bagi produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal dan pembangunan luar bandar.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook beliau turut menyifatkan sebagai salah satu pameran ekonomi paling berpengaruh di dunia, CIIE turut menjadi platform penting untuk Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dan membuka peluang baharu bagi produk tempatan menembusi pasaran global bernilai tinggi.

Katanya lagi, penyertaan Malaysia dalam CIIE tahun ini, serta penganjuran Malaysia International Halal Showcase (MIHAS@Shanghai 2025) yang berlangsung serentak, menandakan komitmen negara untuk memperluas pasaran halal dan memperkukuh kehadiran ekonomi Malaysia di rantau ini.

“Insya-Allah, lawatan kerja ini akan terus membuka ruang kerjasama baharu dan membawa manfaat besar kepada rakyat serta ekonomi negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO