Perkukuh TVET: MARA Meterai MoU Bersama Shanghai Jiao Tong Universiti

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama bersama Shanghai Jiao Tong University (SJTU) pada Rabu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, MoU tersebut dimeterai untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang TVET berimpak tinggi.

“Hari ini, MARA memeterai MoU bersama SJTU untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang TVET berimpak tinggi berintegrasikan AI, penyelidikan inovasi dalam sains dan teknologi, serta pertukaran pelajar dan tenaga akademik.

“MoU ini disaksikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. MoU ini turut membuka ruang kepada penerokaan peluang biasiswa dan penajaan bersama yang akan memanfaatkan pelajar MARA, serta meneroka laluan pengajian terbaik di universiti bertaraf dunia.

“SJTU kini berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan kedudukan pertama di China dalam bidang kejuruteraan maritim serta perniagaan, serta di kedudukan ke-3 keseluruhan universiti terbaik di China,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah strategik MARA untuk melahirkan modal insan bumiputera yang mampu bersaing dan memimpin.

“Kami cukup rasa terhormat apabila delegasi Malaysia disambut sendiri oleh Mr. Yang Zhenbin, Pengerusi Majlis Universiti SJTU (Chairperson of the University Council). Sambutan penuh penghormatan ini memperlihatkan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap usaha MARA dalam memperkukuh ekosistem pendidikan global negara.

“Kerjasama ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar program akademik. Ia adalah langkah strategik MARA untuk melahirkan modal insan bumiputera yang mampu bersaing dan memimpin di peringkat global, menguasai teknologi masa depan serta berperanan sebagai pemacu kemajuan negara.

“Insya-Allah, MARA akan terus merintis peluang dunia untuk anak bangsa agar mereka mendapat pendidikan terbaik untuk kembali berbakti kepada tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO