PRN Sabah: Ramah Mesra BN Perkukuh Silaturahim, Aspirasi Masyarakat Di Ranau
RANAU, 5 Nov – Program Ramah Mesra Bersama Barisan Nasional (BN) yang diadakan di Kampung Koporingan, DUN N.37 Karanaan baru-baru ini berlangsung dalam suasana penuh mesra, harmoni dan keterbukaan antara masyarakat setempat khususnya golongan muda, di sini.
Program ini diserikan dengan kehadiran Ketua Pergerakan Pemuda BN Ranau, Md Nadzmin Kamin, yang berkesempatan berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat lantas mendengar pandangan, keperluan serta aspirasi mereka.

Menurut Md Nadzmin, pendekatan turun padang ini adalah antara komitmen berterusan BN untuk sentiasa mendekati rakyat, memahami realiti di peringkat akar umbi dan memastikan setiap dasar pembangunan disusun mengikut keutamaan sebenar masyarakat tempatan.
“Rakyat khususnya golongan muda mempunyai semangat yang tinggi untuk melihat kawasan ini terus maju. Justeru, BN akan terus mendengar suara mereka dan memastikan setiap perancangan yang dirangka memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Program ramah mesra tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pimpinan BN dan komuniti setempat, selain membuka ruang perkongsian idea serta pandangan bagi memperkasakan pembangunan sosial dan ekonomi kawasan ini.
Md Nadzmin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penduduk yang hadir serta menunjukkan sokongan padu terhadap usaha BN dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

“Semoga hubungan erat ini terus menjadi landasan kukuh untuk membawa Karanaan ke arah masa depan yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” ujarnya lagi.
Program ini turut mencerminkan semangat BN bersama rakyat, seiring dengan iltizam parti untuk terus berkhidmat dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang. – UMNO Online
