PRN Sabah: Bung Moktar Sahkan BN Akan Letak Calon di DUN N.08 Pintasan
KOTA BELUD, 30 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.08 Pintasan pada Pilihan Raya Negeri ke-17.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nanamun, Kota Belud, malam tadi. Majlis berkenaan dianjurkan oleh Tadzul Radim, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Sabah.

Menurut Bung Moktar, semua calon yang dicadangkan oleh parti berkelayakan, namun BN hanya akan memilih calon paling berpotensi untuk menang (winnable) dan diterima rakyat.
“Semua calon yang dicadangkan mempunyai kelayakan masing-masing, tetapi kita akan memilih calon terbaik calon yang mampu menang dan membawa suara rakyat. Saya menyeru semua jentera BN supaya bersatu dan tidak berpecah,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nur Fikri Halim bin Thakdim, 21 tahun, seorang pengusaha ikan dari Kampung Pintasan ketika ditemui berkata, beliau berharap calon yang dipilih kelak dapat membawa pembangunan ke kawasan mereka.

“Kami di Pintasan cuma mahu wakil rakyat yang benar-benar turun padang dan membangunkan kampung kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Jamlan Makuntang, turut menyuarakan harapan agar calon yang menang pada PRN-17 nanti memberi tumpuan kepada agenda pembangunan pelancongan dan pertanian di kawasan Pintasan. – UMNO Online
